NOBODY'S PERFECT :')
 
Setiap manusia yang Allah ciptakan sama sahaja, masing-masing 
mempunyai kelebihan dan kekurangan dan masing-masing mempunyai hati dan 
perasaan. Adakalanya kita ketawa dan adakalanya kita  sedih dan 
menangis. Ada juga manusia yang mudah tersinggung dan terasa hati, dan 
ada juga manusia yang tiada perasaan langsung. Apa yang bezanya di sini 
ialah bagaimana cara manusia mengawalnya.
 
Terasa hati? Pernahkah anda terasa hati dengan rakan-rakan anda? 
Bagaimana ia berlaku? Adakah teguran itu daripada golongan yang lebih 
baik daripada anda ataupun sebaliknya? Pernahkah anda perhatikan cara 
teguran mereka? Adakah teguran mereka itu secara nasihat ataupun halus 
dan berbaur sindiran? Saya sendiri tidak terlepas daripada disindir oleh
 rakan-rakan. Bukan sekali ataupun dua kali. Tetapi sudah berpuluh kali.
 Apa yang saya lakukan hanyalah berdiam diri.
Teguran selalunya berlaku dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Ia
 akan terjadi di kalangan orang yang rapat dengan kita. Ada jenis 
teguran secara nasihat-menasihati dan ada juga jenis teguran secara 
sindir-menyindir. Yang baiknya ialah menegur dengan cara menasihati, dan
 yang buruknya ialah menegur secara menyindir. Tetapi, siapakah yang 
sanggup menegur dengan cara menasihati?
Hanya segelintir sahaja daripada kita yang sanggup menegur secara 
menasihati. Selebihnya  lebih suka menegur secara halus iaitu dengan 
cara sindiran. Ini adalah ujian yang sangat berat kepada kita 
terutamanya kepada golongan yang telah banyak melakukan ibadat seperti 
wanita-wanita yang bertudung labuh dan menutup aurat juga tidak terlepas
 daripada perbuatan ini. Adakah mereka sudah merasakan diri mereka sudah
 mulia ataupun mereka melakukannya secara tidak sedar?
Tidakkah mereka sayang pada pahala yang mereka kumpul? Tidakkah 
mereka fikir akan perasaan orang lain terutama daripada golongan yang 
mudah terasa hati? Daripada hadis riwayat al-Hakim,
"Sebaik-baik 
sahabat ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran
 di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya."
Sindiran itu sangatlah tajam yang boleh meresap menusuk ke dasar 
qalbu (hati) serta mengusik jiwa kita. Perbuatan sindiran inilah yang 
mengakibatkan kepincangan dalam sesuatu perhubungan yang telah lama 
terbina dan akibat daripada perbuatan buruk inilah menjadikan kebencian 
si penyindir membuak-buak apabila isu sensitif di besar-besarkan.
Sindiran ini juga memberi kesan negatif terhadap si penerima 
sindiran. Berkemungkinan si penerima sindiran pada permulaannya berdiam 
diri dan memendam perasaannya, tetapi apabila tiba masanya, dia akan 
menjadi berdendam kepada si penyindir. Pada masa inilah si penerima 
sindiran akan meluahkan dan mengungkit-ungkit apa yang dipendamnya 
selama ini.
Pepatah mengatakan, "Lidah itu tidak bertulang" tetapi disebabkan 
lidahlah membuak-buaknya api permusuhan manusia. Hanya disebabkan satu 
perkataan sahaja, membuatkan hati yang mendengarnya terluka dan sesuatu 
ukhuwah yang dijalinkan menjadi berantakan.
Justeru, marilah kita sama-sama mengubah diri kita, mengubah gaya 
hidup, saling hormat-menghormati hak sesama kita, membudayakan sifat 
saling nasihat-menasihati, serta menegur dengan cara yang berhikmah agar
 orang yang ditegur dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.
Tetapi, tegur itu biarlah kena pada masa dan tempatnya. Iman Syafie' 
berkata, "Nasihatilah diriku dikala aku sendirian, janganlah kau 
menasihatiku ditengah keramaian kerana nasihat di hadapan umum adalah 
sebahagian dari penghinaan yang tidak suka aku mendengarnya. Jika engkau
 enggan dan tetap melanggar kata-kataku, maka engkau jangan menyesal 
jika aku enggan menurutimu." Biarlah kita menegurnya bukan di kalangan 
ramai orang kerana menegur di tempat ramai orang boleh menjatuhkan air 
muka seseorang. Kita telah memalukannya di hadapan orang ramai. Apakah 
perasaan kita apabila kita berada di tempat mereka? Renung-renungkanlah.
"Seorang 
muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzalimi dan 
menghinanya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah
 akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu 
kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di 
antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang 
menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari 
kiamat."
 HR. Ibnu Umar Ra. Kitab Sahih Muslim: 4677).
Buangkanlah sifat mencari kesalahan dan menyalahkan orang lain. 
Tutuplah aib mereka jika kita tidak mahu menampakkan aib kita kepada 
orang lain. Jika kita berubah untuk menjadi baik kerana Allah, Allah 
akan menghantar orang-orang baik untuk bersama kita.
Jikalau kita asyik menyindir orang, tidak mustahil juga suatu hari 
nanti, orang yang kita sindir itu  akan menjadi individu terbaik dan 
terhebat daripada kita. Pada masa itulah kita akan merasa sangat-sangat 
bersalah dan kesal di atas perbuatan yang kita lakukan terhadap orang 
yang kita sindir pada suatu ketika dahulu.
Maafkanlah dengan menerima segala kekurangan yang ada pada mereka. 
Al-Hasan bin Wahab berkata, "Salah satu hak berteman adalah memberi maaf
 di atas kesalahan yang terjadi dan tidak mencelanya."  Ingatlah 
kebaikan orang lain terhadap kita, dan janganlah mengungkit-ungkit 
kebaikan kita terhadap orang lain. Maafkanlah dan lupakan setiap 
kesalahan yang orang lakukan terhadap kita. Dengan melupakan kejahatan 
orang terhadap kita, maka timbullah perasaan kasih sayang yang terpancar
 dalam diri dan akan menarik perhatian orang untuk menyayangi kita.
*nampak beno copy paste nye , dgn gambo gambo skali ade :PPOSTED BY amaliinaamal  ON Friday, May 18 @ 7:13 am